Masuk PAS: Kontrak Abby jadi duta tudung ditamatkan

Pelakon dan penyanyi terkenal, Abby Abadi menulis dalam laman sosial Twitter yang kontraknya sebagai duta kepada sebuah syarikat tudung, baru sahaja ditamatkan kerana penglibatannya dalam PAS.

“4 Julai 2012 – Kontrak saya sebagai duta kepada tudung mereka terbatal secara rasminya.

“Saya terima dengan hati terbuka & saya minta maaf kerana terlibat Pakatan Rakyat,” tulisnya di laman Twitter pagi tadi.

Sementara itu syarikat tudung berkenaan, AlHumaira Contemporary (AHC), dalam maklum balas segera dalam facebooknya berkata, kontrak itu ditamat kerana “tidak mencapai matlamat yang diharapkan”.

Tanpa menyebut nama Abby, syarikat itu menegaskan bahawa pihaknya sebenarnya berhak mengikut undang-undang untuk menamatkan kontrak pada bila-bila masa yang dianggap sesuai mengikut situasi.

“Itu ialah hak kami dan kami berharap semua pihak boleh respect (hormat) keputusan ini,” kata syarikat itu pada laman Facebooknya, merujuk kepada “seorang artis yang baru beberapa bulan bertudung yang juga merupakan bekas duta AHC”.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi terkenal itu yang kini aktif berceramah – ketika ditemui Malaysiakini Jumaat lalu – menyifatkan penyertaannya ke dalam parti itu merupakan sebahagian daripada langkahnya mendekati agama.

Menurut Abby, ia bukanlah satu penghijrahan politik seperti yang dianggap ramai pihak.

“Saya tak pernah terfikir nak guna istilah penghijrahan itu sebab saya terlibat secara tak sengaja,” katanya sewaktu ditemui di Shah Alam.

Menurut Abby, perubahan dirinya yang kini bertudung dan mula mendekati agama dilakukan sebelum beliau mula mendekati PAS lagi.

“Hidayah atau penghijrahan ini kita dah dapat semua sebelum masuk PAS,” kata Abby.

Abby yang dahulu merupakan sebahagian daripada kumpulan Elite dan popular dengan siri drama Gerak Khas menjadi ahli PAS seumur hidup pada 19 Julai lalu.

Beliau menyerahkan sendiri borang keahliannya kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, beliau mula mendekati PAS selepas dijemput parti itu untuk berceramah tentang perubahan dirinya daripada seorang yang tidak bertudung kepada seorang yang bertudung.

“Saya pada mulanya dijemput untuk berkongsi tentang saya punya hijrah itu,” kata Abby.

Beliau kemudiannya membuat keputusan menyertai PAS kerana tertarik dengan perjuangannya yang berteraskan agama Islam.

“Kita nampak PAS itu perjuangan dia memang perjuangkan agama. Saya sertailah sebab saya nampak benda itu memang baik untuk agama,” kata Abby ringkas./mk

Advertisements

LGE: DAP, PAS bekerjasama ‘dengan mata terbuka’

DAP bekerjasama dengan PAS berdasarkan prinsip bersama yang memanfaatkan rakyat dan ‘dengan mata terbuka’, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sebaliknya, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang mendakwa bahawa MCA, MIC Dan Gerakan “menyerah diri kepada Umno dengan mata tertutup”.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata MCA dan Gerakan meneruskan serangan kononnya DAP menyokong PAS dalam
pelaksanaan undang-undang hudud dan penubuhan negara Islam serta serangan peribadi yang menurutnya “menampakkan keadaan terdesak mereka untuk meraih kembali sokongan yang sudah hilang”.

Lim menyifatkan MCA dan Gerakan seakan-akan “pesalah yang melemparkan tuduhan dahulu” dengan cubaan mereka untuk
menutup kegagalan untuk menuntut tindakan terhadap pemimpin Umno yang menyokong pelaksanaan hudud malah ke atas bukan Islam.

“Saya ingin mengulangi sekali lagi pendirian DAP yang tidak menyokong pelaksanaan negara Islam di Malaysia dan pelaksanaan undang-undang hudud oleh PAS.

“Pendirian DAP ini konsisten dan tidak pernah goyah. Namun begitu, DAP dan PAS sama-sama berkongsi pendirian untuk
memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta pelaksanaan integriti dalam kepimpinan yang berteraskan prinsip cekap, akauntabel dan telus.

“Kita bersetuju dalam negara berkebajikan yang melindungi rakyat yang miskin, fakir, sakit dan sesiapa yang memerlukan bantuan,” kata Lim.

DAP dan PAS, tambahnya, boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat Malaysia berdasarkan prinsip bersama “yang
menyatukan kita daripada membiarkan perbezaan ini untuk memecah belahkan kita”.

Untuk sebab itulah, katanya, DAP dan PAS telah menandatangani “dasar bersama” yang menyatakan kerangka kerjasama kita dan dasar membina negara-bangsa kerajaan persekutuan PR masa depan.

Jelas, ‘dasar bersama’ tersebut, tegas Lim, tidak menyebut tentang pelaksaan negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat pada masa depan.

Beliau mendakwa, ini berbeza dengan Umno Pulau Pinang yang telah memanggil untuk pelaksaan hudud di Pulau Pinang dan di serata negara.

Malah, katanya, ADUN Kemelah, Johor daripada Umno, Ayub Rahmat telah menyeru agar Johor menjadi negeri pertama untuk melaksanakan “undang-undang hudud sebenar”, yang berbeza dengan versi PAS kerana “undang-undang hudud sebenar” Umno akan merangkumi rakyat bukan Islam juga.

Lim mendakwa, bukan sahaja Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim tetapi juga Ketua Wanita Umno Kepala Batas telah meluluskan ketetapan untuk menyokong undang-undang hudud untuk semua.

Dalam erti kata lain, katanya, Umno yang ingin melaksanakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam adalah lebih ekstrim berbanding PAS yang hanya ingin melaksanakannya ke atas orang Islam.

“Saya tidak mendengar pemimpin tertinggi Gerakan mengutuk Umno ataupun Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggunakan kata-kata “sida politik” terhadap Umno.

“Kenapa MCA atau Gerakan tidak meninggalkan BN atas sokongan pemimpin Umno terhadap hudud untuk semua?” soalnya sambil menambah DAP tidak akan menggunakan taktik jijik yang didakwanya digunakan oleh MCA dan Gerakan terhadap pemimpin DAP.

Menurut Lim lagi, DAP tidak pernah menyalahgunakan imuniti parlimen untuk menonjolkan video seks Soi Lek.

“Kami juga tidak menjalankan kempen memburuk-burukkan sepertimana Gerakan buat terhadap saya dan keluarga saya,” katanya.

Malangnya, tegas Lim lagi, keberanian sedemikian tidak pernah ditunjuk oleh pemimpin Gerakan terhadap Umno walaupun Umno “bagai tidak endah apabila gambar potret Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah dikoyakkan”.

Lim mendakwa bahawa Umno-lah yang telah mengharamkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab injil bahasa Melayu yang digunakan secara luas di Sabah dan Sarawak.

Ini, tegasnya, berbeza dengan PAS yang mengambil jalan sederhana yang membenarkan orang Kristian untuk menggunakan kalimah “Allah” seperti yang menjadi kelaziman selama beratus-ratus tahun di Timur Tengah dan Indonesia.

Jelas, katanya, terdapat perbezaan antara kerjasama DAP dengan PAS dan kerjasama MCA atau Gerakan dengan Umno, apabila PAS dan Umno dua-dua menyokong hudud dan negara Islam.

Menurut Lim lagi, PAS menyokong hudud secara terbuka dan tidak ingin melaksanakannya ke atas bukan Islam manakala Umno didakwanya hanya menyokong hudud untuk semua dalam media bahasa Melayu tetapi tidak dalam media bahasa Cina atau Inggeris.

DAP, tegas Lim, bekerjasama dengan PAS atas prinsip bersama iaitu keadilan, kebebasan dan demokrasi dengan mata terbuka, tetapi mendakwa MCA, MIC dan Gerakan “menyerah diri kepada Umno dengan mata tertutup”.

Populariti penting? Pakatan berbeza pendirian

SHAH ALAM- Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mendakwa populariti seorang pemimpin tidak mampu bertahan lamakerana ada turun dan naiknya, oleh itu, yakin tidakakanmemberi kesan besar dalam menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, populariti ini tidak dapat menggambarkan keyakinan rakyat negara ini kepada mana-mana tokoh atau pemimpin dan rating populariti mampu berubah pada bila-bila masa saja.

“Kita hanya mampu melihat populariti yang diraih apabila tarikh PRU13 diumumkan kelak. Populariti ini hanya memberi sedikit kesan,” kata Salahuddin,Salahuddin menjelaskan rakyat sendiri kini tertanya-tanya tarikh sebenar PRU13 dan oleh itu, populariti pemimpin tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur bagi menjamin kemenangan mutlak parti.

“Mungkin PRU13lama lagi, jadi populariti ini bukan faktor penentu kemenangan,” tegasnya.

Tambah beliau, kekuatan jentera pilihan raya dan sokongan daripada akar umbi yang menjadi faktor penguat dalam meraih kemenangan dalam PRU13.

“Setakat popular saja tidak cukup. Rakyat kini semakin bijak menilai. Mereka juga akan menilai dari segi isu yang dimainkan kini.

“Contohnya, Pakatan Rakyat (PR) ingin mewujudkan pendidikan tinggi percuma, isu ini boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk mengundi parti pilihan mereka,” katanya.Menurut Pengarah Strategi, Rafizi Ramli, pengundi atas pagar yang bakal mempengaruhi keputusan PRU akan datang kerana mereka tidak akan memandang populariti pemimpin atau calon, sebaliknya mereka akan lebih mementingkan isu, tawaran yang parti dapat berikan dan juga manisfesto yang dibawakan oleh parti yang bertanding.

“Saya juga tidak menolak kajian yang dibuat oleh pensyarah berkenaan adalah sebagai satu cara untuk memberi peringatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengadakan PRU kerana rakyat sendiri mula resah dan gelisah berhubung tarikh PRU yang selama ini menjadi satu teka-teki hingga kini,” katanya.

Tambah beliau, faktor terkuat yang mempengaruhi undi ialah soal calon, parti politik yang bertanding dan rekod perkhidmatan wakil rakyat sendiri, bukan menjurus kepada populariti semata-mata.

Berbeza pendapat pula dengan DAPdi mana Setiausaha Publisitinya, Tony Pua berpendapat yang populariti seseorang pemimpin menjadi salah satu faktor terkuat untuk memastikan kemenangan dalam PRU akan datang.

“Populariti pemimpin sendiri menjadi faktor penyumbang bagi menentukan kemenangan kerana pemimpin yang diterima ramai ini ialah pemimpin yang popular. Jadi, saya tidak menolak hasil kajian yang dijalankan oleh Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali ini,” katawakil rakyat muda ini.

Menurutnya, antara faktor penyumbang yang lain ialah parti yang bertanding dan kekuatan calon yang bertanding turut menjadi teras utama menyumbang kemenangan selain daripada populariti.

Kajian MPN pancung Mukhriz jadi MB

KUALA LUMPUR – Kajian dilakukan Majlis Profesor Negara akan memancung Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir atas alasan ramai rakyat negeri itu yang tidak menyenangi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas menyifatkan kajian yang dilakukan anggota MPN tentang masa depan politik di Kedah sekiranya Umno berjaya di negeri itu adalah satu percaturan politik yang tidak bijak.

“Mungkin tujuan mereka baik, namun ia sekali gus memancung karier dan kerjaya politik Mukhriz hanya disebabkan sejarah percaturan politik dinegeri itu yang tidak dapat menerima baik dan rata-ratanya tidak sebulu dengan Dr Mahathir.

“Ia akan merugikan Mukhriz. Saya lihat MPN perlu memperkemas dan memperkukuhkan kajian yang dilakukan untuk politik negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir yang pernah mengetuai Umno Kedah dan Pengerusi Biro Politik dengan tidak sengaja menimbulkan perasaan marah di kalangan mereka yang mempunyai perkaitan dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman, bekas Perdana Menteri dan Bapa Kemerdekaan, apabila membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk Pilihan Raya Umum 19/SH

Pas: Kajian MPN sukarkan PM panggil PRU

SHAH ALAM – Pas mendakwa hasil kajian beberapa anggota Majlis Profesor Negara (MPN) “agak berbeza dan bercelaru” antara satu sama lain, sekali gus akan menyukarkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sambil berkata pihaknya menghormati hasil kajian beberapa universiti yang diumumkan baru-baru ini dan terbaru semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, hasil kajian terbaru semalam akan meletakkan Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam keadaan yang “sukar.”

“Kajian seorang profesor berkata BN akan mengambil alih Kedah dalam pilihan raya umum akan datang. Satu lagi kajian mengatakan bahawa Kedah akan kekal (dengan Pakatan Rakyat)… ada perbezaan dalam kajian mereka.

“Saya fikir ia akan meningkatkan kecelaruan dalam mencari tarikh yang sesuai bagi memanggil pilihan raya dan dalam menentukan masa depan politik BN dan Umno,” kata beliau lagi.

Semalam, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa jika penemuan kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) membabitkan 10,800 responden mendapati majoriti pengundi Kedah memilih BN menerajuinya semula, seorang lagi anggota MPN berpendapat PR khususnya Pas boleh mengekalkan negeri utara Semenanjung itu.

Prof Dr Mansor Mohd Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia mendedahkan penemuan kajiannya semalam – Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan akan kekal di tangan PR.

Pun begitu katanya, Selangor, negeri paling kaya di Malaysia, akan jatuh ke tangan BN sebagaimana disebutkan dalam laporan kelmarin.

Anggota panel forum mengenai PRU13 ini berkata, penemuan pihaknya diperoleh menerusi kajian berkala yang dikendalikan beliau antara April dan Mei lalu.

“Kami menjalankan kajian dari bulan ke bulan, melibatkan kumpulan berfokus, kajian panel,” kata beliau.

Dalam laporannya empat hari lalu, Prof Dr Rohana Yusof berkata, rakyat negeri itu juga yakin dengan cara kepimpinan yang di bawah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menerajui negara.

Menurutnya, ini kerana corak pemerintahan yang dibawa oleh Perdana Menteri secara tidak langsung meningkatkan tahap ekonomi di negeri itu, berbanding Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

“Kajian itu menunjukkan 65 peratus kepimpinan Najib mampu meningkatkan tahap ekonomi negara berbanding 44 peratus yang dilakukan oleh Azizan untuk negeri itu.

“Malah 67 peratus juga menyukai corak kepimpinan Perdana Menteri berbanding dengan menteri besar yang hanya 41 peratus. Ini menunjukkan rakyat kini mula memihak kepada Kerajaan Persekutuan, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan Meja Bulat anjuran MPN yang bertajuk ‘PRU13: Malaysia Pilih Siapa?’. Perbincangan pusingan pertama ini membawa tajuk ‘Prestasi dan Potensi BN di 4 Negeri, Siapa Jadi Pilihan?’.

Mengulas lanjut perkara itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pihaknya menerima apa jua kajian khususnya penemuan terbaru ini kerana ia akan membantu pihaknya mengambil langkah dan strategi memperbaiki kedudukan.

“Saya menghormati kajian mereka. Apa yang ditonjolkan oleh kajian mereka akan membantu kami membuat penambahbaikan,” katanya lagi./SH

Azizan: Semua Adun Pas layak jadi MB

ALOR SETAR – Fokus Pas Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah untuk memantapkan strategi mempertahan kuasa bukannya menyenaraikan pemimpin yang layak dilantik sebagai Menteri Besar.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, soal siapa layak menjadi Menteri Besar selepas beliau adalah perkara kedua, yang lebih penting adalah untuk kekalkan kemenangan.

“Pemimpin Pas tidak bercakap soal itu. Kita bukan seperti Umno, belum pegang kuasa sudah sibuk senaraikan calon MB,” katanya.

Azizan yang juga Menteri Besar berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas sedia ada layak dilantik sebagai Menteri Besar, namun pemilihan ditentukan di peringkat Pusat.

“Saya tidak kisah siapa ganti saya selepas ini, nama yang disebut itu semuanya layak jadi MB termasuk semua Adun Pas.

“Itu soal kedua, saya tak marah siapa yang dicanang sebab pengkaji itu berhak letak nama sesiapa sahaja yang disukai,” katanya.

Baru-baru ini Ahli Panel Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Rohana Yusof dari Universiti Utara Malaysia (UUM), menunjukkan nama Azizan kekal di hadapan dengan 40 peratus, diikuti Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi (12 peratus), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (tujuh peratus) dan Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (tiga peratus).

Kajian itu berdasarkan senarai calon MB Kedah sekiranya Pas berjaya mengekalkan kuasa di Kedah dalam PRU13 akan datang.

Kajian membabitkan 10,800 responden meliputi rakyat Kedah berumur 21 tahun ke atas melibatkan kawasan bandar dan kampung.

Azizan berkata, sebelum ini, beliau juga dikatakan tidak layak menerajui Kedah ketika masih menjadi pembangkang, namun kini selepas empat tahun menerajui sudah membuktikan mampu mentadbir dengan baik./SH

Pas: Jangan mudah dakwa undi BN pahala lebih

KOTA BHARU- “Jangan mudah meletakkan andaian mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti (akan) diberi ganjaran pahala lebih,” kata Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Bagi tujuan itu, Mohd Amar meminta Pemuda Umno Kelantan supaya tidak melabelkan pengundi yang akan mengundi BN mendapat pahala berdasarkan kenyataan Pas tidak dapat mengotakan janji-janji sahaja.

“Dosa dan pahala adalah berlandaskan dasar perjuangan, bukannya dilihat pada ketidakmampuan sesebuah parti dalam mengotakan janjinya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian yang menyifatkan pengundi BN akan mendapat pahala lebih dengan mengundi parti itu jika Pas tidak berbuat apa-apa kemajuan dalam Islam dan bangsa Melayu.

Kenyataan Anuar itu adalah susulan kenyataan Mohd Amar pada 29 Jun lalu yang mencabar Umno mengundi parti itu atau BN pada pilihan raya umum akan dikira sebagai amal soleh dan pahala jika Umno percaya perjuangannya selari dengan kehendak Islam.

Beliau yang juga, Pengerusi Jawatankuasa Islam, Pendidikan dan Dakwah menegaskan, kenyataan Anuar berhubung BN terbukti lebih banyak mengotakan janji dan menggerakkan syiar Islam tidak boleh dibanggakan.

“Di Kelantan, terdapat 118 projek Kerajaan Persekutuan yang terbengkalai biarpun Kerajaan Negeri beri kelulusan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Amar menempelak Anuar kerana bagi beliau, Ketua Pemuda Umno Negeri itu kurang layak untuk berbincang soal itu.

“Soal dosa dan pahala ini adalah perkara luas kerana berkaitan agama. Ia bukan mudah diperkatakan,” katanya.