Jom Tengok Respon Ketua Pemuda PAS Tentang Kritikan Kepada Tuan Guru Haji Hadi..

Nasrudin Hassan Berikut adalah respons Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berhubung kritikan terbuka terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

1. Ramai pihak termasuk wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan mengenai kritikan yang dilemparkan kepada Pas muktahir ini, khasnya kepada batang tubuh Presidennya. Saya dimaklumkan berlaku berbalas kenyataan dan  kononnya ini adalah “tunas perpecahan” yang sedang menimpa Pakatan Rakyat (PR). Sedang realitinya ini bukanlah polemik pertama berlaku kepada Pas yang telah berusia lebih separuh abad. Malah sering berlaku kepada PR sepanjang usianya.

2. Sejarah membuktikan tidak semestinya yang dikritik itu salah lalu ia wajib memenjarakan lidah dan mulutnya dari menjawab balas kritikan tersebut, sebagaimana pengkritik tidak selamanya benar sehingga ia bebas melemparkan kritikan sesedap rasa pada semua orang, keadaan dan masa.

3. Asasnya, sebagai sebuah gerakan Islam, kami sentiasa terbuka dan sedia untuk dikritik dan diaudit serta meletakkan kami pada situasi sebagaimana yang diajar oleh ALLAH SWT iaitu bersedia mendengar apa jua perkataan lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya.

4. Namun terbuka dan bersedia menerima kritikan bukan bermakna kami mesti diam membatu atau bungkam membisu dalam menerima kritikan tersebut. Memberi jawab balas, menangkis serta membuat pencerahan semula terhadap kritikan adalah sebahagian dari kaedah mengurus dan menangani kritikan yang normal serta dibenarkan sebagaimana uslub biasa digunakan oleh Al-Quran Al-Karim sewaktu menjawab kritikan pelbagai pihak terhadap Islam dan syariat yang dibawa oleh Rasul utusan ALLAH SWT.

5. Ramai menyangka maksud menerima kritikan ialah “zip” mulut dan mendengar apa jua yang dikatakan yang ditujukan kepadanya sehingga kadangkala kita boleh dianggap kurang bijak dan naif. Pada saya itu adalah satu keadaan yang boleh dipilih, sementara menjawab serta menangkis kritikan pula satu keadaan lain yang dibenarkan malah tidak menghilangkan rasa hormat kita kepada pihak pengkritik. Bahkan keadaan kedua ini lebih menarik untuk mencetus pencerahan dan percambahan fikir kiranya ia diurus dan ditanggap dengan positif.

6. Sebagaimana pihak pertama ada hak untuk mengkritik, kenapa pula kita mesti nafi dan hilangkan hak pihak kedua menjawab kritikan yang dilemparkan. Budaya nasihat menasihat, tegur menegur dan kritik mengkritik adalah budaya positif yang tidak perlu kita resah  dan menaruh kebimbangan melampau apabila ia berlaku.  Selayaknya pihak pengkritik, mesti bersedia menghadapi kritikan balas bagi menilai potensi kritikannya. Adakah ia berasas atau tidak? Adakah kritikan tersebut berpaksikan hujah atau fitnah? Adakah kritikan itu dengan tujuan membina atau meruntuhkan?

7. Sistem nilai ini hanya wujud apabila ada timbal balas pada kritikan yang dilemparkan. Justeru berapa banyak di luar sana jumlah kritikan yang hanya merupakan fitnah dan tohmahan demikian juga kritikan yang dirancang untuk menjatuh dan meruntuhkan. Maka untuk menilainya perlu ada jawapan atau pencerahan pada kritikan yang dikemukakan.

8. Apatah lagi jika sesuatu kritikan itu dibuat secara terbuka? Ia boleh mencipta prasangka dan mencetus persepsi masyarakat awam, justeru itu mahu atau tidak, jawapan balas mesti dikemukakan terhadap kritikan tersebut bagi meluruskan persepsi dan memurnikan prasangka. Contoh apabila pelbagai tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada Presiden Pas, sememangnya menjadi tanggungjawab pemimpin dan ahli Pas membuat pencerahan serta mempertahankannya.

9. Namun saya sangat setuju bahawa setiap kritikan mesti dinilai dengan jujur dan benar. Jika kritikan tersebut ada asas dan hujah yang jelas, selayaknya kita akur dan bersyukur lantaran kritikan itu membuka jalan bagi berubah ke arah yang lebih baik.

10. Saya selaku Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia menyambut dan menerima apa jua kritikan yang dilemparkan. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang memberi perhatian kepada Pas lantas sudi mengkritik Pas dan pemimpinnya. Kalian semua secara tidak langsung adalah agen yang membangun dan mendewasakan Pas  dengan kritikan dan teguran yang dihulurkan.

Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia

Tinggalkan komen

Tiada komen.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s