Kenapa Mursi Digulingkan

 

Sinar Harian mengambil pendekatan dari perspektif berbeza mengenai kisah penggulingan Presiden Mohamed Mursi dan tragedi berdarah 13 dan 14 Ogos lalu di Kaherah, Mesir.

Paparan juga dimuatkan mengenai dakwaan tuduhan palsu terhadap Ikhwanul Muslimin (IM) yang dilabelkan sebagai pengganas.

Kini, jutaan rakyat Mesir mahu demokrasi dikembalikan demi keamanan dan membina semula kegemilangan empayar Islam. Tetapi, mengapa bumi Mesir ini menjadi rebutan Amerika Syarikat (AS) dan Israel? Benarkah dakwaan bahawa Mursi memusuhi badan kehakiman? Siapa pula menganianyai imam Al Azhar?.

Segala persoalan itu terjawab dalam siri akhir temu ramah bersama seorang penganalisis dari Mesir yang pakar dalam bidang kajian ‘Arab Spring’ sejak 2010.

Ikutilah wawancara Timbalan Pengarang Berita Farush Khan, Ketua Meja Global Liza Hasan, jurufoto Rosli Taib, jurukamera Md Nidzam Osman dan Yusrizal Yusuf. Siaran wawancara ini juga boleh dilayari menerusi www.sinarharian.com.my/sinar-tv.

Mengapa Mursi tidak disenangi Israel dan AS?

Pertama, ketika Gaza diserang Israel, Mursi muncul sebagai individu pertama memberi amaran bahawa Gaza berada di bawah jagaannya dan jangan ada mana-mana pihak berani mengganggu wilayah itu. Ketika konflik itu, Presiden AS Barack Obama pernah menghubungi Mursi, meminta bantuan untuk membuat resolusi dalam usaha menghentikan krisis di Gaza.

Ini menunjukkan Mursi mempunyai pengaruh kuat di kalangan penduduk Islam dunia. Tindakan ini menyebabkan Israel menyifatkan Mursi bukan calang-calang pemimpin untuk dipersendakan seperti bekas presiden, Hosni Mubarak.

Kedua, jurnal Israel melaporkan, Mursi dan pengikutnya berniat mencabuli perjanjian Kem David. Perkara ini membimbangkan AS kerana sejak dari 1975 lagi, AS menyalurkan AS$1.3 bilion dan mereka tidak mahu bantuan itu tidak mendapat pulangan setimpal.

Apa yang paling ditakuti Israel?

Sebilangan rakyat Israel berkata, penggulingan Mursi sangat penting untuk Israel berbanding ‘kejayaan’ mereka pada 1967. Ketika itu, Israel menakluki dan menahan tentera Mesir, Syria, Jordan dan Iraq.

Namun, bagi Israel, penggulingan Mursi adalah jauh lebih penting berbanding kejayaan itu. Ini kerana Israel takut Mursi akan menukar keseluruhan jajahan Israel itu.
Mungkinkan sempadan Sinai menjadi sebab Mursi digulingkan?

Sinai diduduki Israel kira-kira 20 tahun dari 1967-1975. Sinai amat berharga kepada Mesir selepas menawan semula wilayah itu. Wilayah Sinai terletak antara sempadan Mesir dan Israel.

Maka itu, kami merasakan jika Sinai diambil sekali lagi oleh Israel, perkara itu amat merbahaya dan mustahil untuk mendapatkannya semula.
Itu sebabnya, kami menghargai tentera sekiranya mereka boleh menumpukan perhatian penuh di Sinai.

Apakah jasa Mursi terhadap wilayah Sinai?

Mengikut perjanjian Kem David dalam perjanjian Israel dengan Presiden Anwar Sadat dahulu, tentera Mesir tidak berhak berada di Sinai dengan kelengkapan tentera berat. Kawasan itu dipecah kepada tiga bahagian.

Di kawasan A, tentera dibenarkan membawa meriam, di kawasan B, tentera dibenarkan membawa beberapa senjata dan di kawasan C, tentera hanya dibenarkan membawa senjata ringan.

Tetapi Mursi mahu tentera mengawal sempadan itu dengan jumlah yang ramai, lengkap dengan meriam dan senjata. Tindakan ini bagi menunjukkan kepada Israel bahawa kepimpinan beliau lain daripada kepimpinan Mubarak

Mengapa Arab Saudi sokong tentera?

Mursi berhasrat mewujudkan projek mega di rantau Terusan Suez. Projek ini mampu memberi keuntungan besar kepada Mesir dalam tempoh 10 tahun, sekali gus menjadikan negara itu sebagai negara mempunyai kuasa ekonomi terkuat dunia.

Perkara itu pernah disuarakan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun (Dr) Mahathir (Mohamad). Tetapi perkara itu tidak disenangi UAE kerana boleh membunuh Dubai.

Kesimpulannya anda boleh mengetahui mengapa penggulingan Mursi penting buat AS, UAE dan Arab Saudi. Kita juga boleh melihat permainan mereka ketika penggulingan kerana ada yang menyalurkan bantuan kewangan dan sokongan moral terhadap kerajaan sementara.

Apakah pandangan saudara tentang tentera?

Saya suka tentera negara saya. Saya memerlukan mereka dan saya bangga dengan mereka kerana kami meraih banyak kemenangan. Peranan tentera bukan untuk memerintah, tetapi untuk menjaga keselamatan di sempadan.

Apa yang terjadi sekarang, mungkin tentera tidak suka untuk beroperasi secara elit. Mereka mahu mengembalikan semula (pemerintahan) secara paksa. Ini bukan caranya.

Siapakah yang meracuni pemikiran dan tentera untuk melakukan rampasan kuasa?

Ketika sebulan sebelum rampasan kuasa Al-Sisi berkata dalam satu deklarasi: “Jangan bermain dengan tentera kerana tentera seperti api”. Selepas itu, kami semua mengatakan perkara ini sangat bagus, sekiranya tentera tidak mahu kembali dalam pemerintahan dan membiarkan orang awam memerintah. Tetapi apa yang berlaku kumpulan sekular, liberal dan kumpulan minoriti membuat spekulasi yang tentera tidak berkuasa dalam pemerintahan Islam.

Apa yang berlaku, kumpulan ini meminta tentera menyelamatkan Mesir dengan perjanjian sekiranya tentera mengambil semula kuasa dari Islamis maka kuasa tentera akan dikembalikan semula.

Benarkan Mursi menganiayai hakim empat hari sebelum digulingkan?

Badan kehakiman menentang Mursi sejak hari pertama beliau bergelar presiden. Hakim berkomplot dalam rampasan kuasa. Rampasan kuasa dilakukan lima pihak, tentera, polis, media, hakim dan kumpulan liberal. Mereka semua berhasrat untuk menjadi pemimpin politik.

Mereka juga mendapat campur tangan daripada pihak berkuasa Al Azhar dan gereja.

Mursi bertindak tegas terhadap hakim kerana tindakan badan kehakiman membebaskan kesemua tahanan bersalah, termasuk tahanan ketika era rejim Mubarak. Tindakan itu dilakukan atas kehendak hakim, termasuk menafikan semua tuduhan.

Hakim juga membebaskan kesemua penyerang pintu masuk rumah presiden dan cuba membunuh Mursi. Hakikatnya, mereka sebenarnya adalah tentera dan polis. Kebanyakan hakim mempunyai latar belakang kepolisian. Selepas mereka tamat menjadi polis, mereka akan menyertai badan kehakiman.

Bagaimanakah cubaan awal untuk meminta Mursi melepaskan jawatannya?

Mengikut maklumat daripada seorang hakim pada ucapan terakhir Mursi, seorang tentera mengarahkan beliau membaca satu kenyataan, berbunyi: “Pada hari ini, saya (Mursi) akan meletak jawatan” tetapi Mursi tidak membacanya dan memandang pegawai tentera itu dengan tajam.

Mengapa beliau membatalkan beberapa deklarasi pada hari angkat sumpah sebagai presiden?

Deklarasi itu dibuat oleh hakim, manakala perlembagaan dibuat oleh ratusan penggubal undang-undang, kebanyakan adalah daripada pembangkang. Apa yang menghairankan, seorang daripada mereka meletak jawatan serta-merta selepas balik dari Israel.

Maknanya beliau sudah mengetahui akan berlaku rampasan kuasa. Dalam perlembagaan tersebut syarat paling utama, presiden tidak boleh digulingkan dengan cara demonstrasi tetapi mengapa Mursi digulingkan dengan cara demonstrasi?

Kedua, deklarasi itu ditolak Mursi kerana mereka mahu ketepikan imej Islam. Mursi berkata, jika mereka mahu membatalkan deklarasi, mereka boleh mewujudkan satu jawatankuasa kerana perlembagaan bukan al-Quran dan mereka boleh membuat apa juga pindahan.

Bagaimana kerajaan sementara memburukkan Al Azhar?

Kerajaan sementara menggunakan polis dan imam Al Azhar untuk memberikan maklumat salah kepada pro Mursi di Rabaa dan Nadha.

Mereka memutar belitkan fatwa daripada Mufti Mesir, Sheikh Ali Juma’ah, yang kononnya menyatakan ‘pro Mursi adalah puak khawarij dan darah khawarij mengikut Islam adalah halal’. Seorang pegawai berkata, selepas mendengar fatwa itu, beliau mengaku membunuh 80 orang pada hari tersebut.

Selepas rampasan kuasa, bagaimanakah masa depan media di Mesir?

Sejurus tentera berkuasa, mereka menutup semua saluran media Islamis. Sebanyak 17 stesen ditutup pada hari pertama. Maknanya tentera mahu satu saluran sahaja untuk diikuti rakyat. Mereka mahu mempengaruhi fikiran rakyat.SH

Tinggalkan komen

Tiada komen.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s